alamhamil.com

Font Size

Layout

Menu Style

Cpanel

Merancang Untuk Hamil

Apabila Haid Anda Bermasalah

User Rating:  / 9
PoorBest 

Aliran haid bulanan berlaku adalah disebabkan oleh gugurnya lapisan dinding rahim anda. Kitaran haid yang normal merupakan cara tubuh anda memberitahu bahawa sistem pembiakan anda berfungsi dengan baik.

Seperti juga personaliti, setiap tubuh wanita adalah unik dan berbeza, begitu juga dengan kitaran haid mereka. Selepas beberapa tahun mengalami haid, wanita sudah pasti dapat menyesuaikan diri dengan kekerapan haid, kitaran dan aliran haid mereka yang tersendiri. Jadi, jika terdapat perubahan pada aliran haid, mereka mula tertanya-tanya apakah sebenarnya yang terjadi.

Apa yang dimaksudkan kitaran haid yang normal

Kitaran haid pada wanita adalah dalam kitaran 28 hari dan tempoh alirannya adalah selama 3-5 hari. Tetapi kitaran dan aliran haid adalah berbeza daripada seorang wanita kepada wanita yang lain. Tiga hari mungkin biasa bagi sesetengah wanita, 8 atau 10 hari adalah perkara biasa bagi wanita lain pula. Begitu juga dengan aliran haid yang normal bagi seorang wanita boleh menjadi sesuatu yang luar biasa kepada sesetengah wanita lain.

Masalah haid yang kerap terjadi

Haid sedikit atau tiada langsung

Masalah ini berkait rapat dengan usia seseorang wanita. Bagi seorang wanita berusia 20-an atau 30-an yang aktif secara seksual, hamil adalah kemungkinan yang utama. Walaupun wanita tersebut mengamalkan kaedah pencegah kehamilan, dia masih berisiko untuk hamil kerana tiada kaedah yang memberi jaminan seratus peratus.

Sebaliknya bagi wanita dalam usia 40-an atau 50-an, mereka berada lebih kepada peringkat sekitar menopos. Ini disebabkan oleh ovari mula memperlahankan pengeluaran estrogen dan aliran haid menjadi kurang kerap. Tempoh haid juga akan menjadi lebih pendek atau ringan. Apabila haid berhenti untuk tempoh 12 bulan berturut-turut, anda sudah mencapai menopos. Purata umur bagi menopaus lebih kurang 51 tahun.

Satu lagi punca yang menyebabkan haid menjadi sedikit atau tiada langsung adalah mengamalkan senaman yang keterlaluan. Fenomena ini adalah biasa di kalangan penari balet dan pelari marathon. Senaman intensif menjejaskan pengeluaran hormon reproduktif yang berkait dalam kitaran haid.

Lain-lain kemungkinan termasuklah;

  • Gangguan pada kelenjar Tiroid atau Pituitari
  • Gangguan Hipotalamus (Kelenjar otak yang merangsang pengeluaran hormon reproduktif)
  • Penyusuan Ibu
  • Obesiti
  • Pill perancang dan Depo-provera
  • Tekanan perasaan dan fizikal
  • Polycystic sindrom ovari dan ketidakseimbangan hormon lain
  • Putus Haid pramatang (sebelum usia 40 tahun)
  • Penyakit rahim
  • Anoreksia nervosa - terlalu kurus

Aliran haid yang banyak dan lama

Kebanyakkan wanita mengalami kadar aliran lebih kurang 2 atau 3 sudu darah setiap bulan. Mereka yang melalui haid yang banyak boleh kehilangan 5 sudu atau lebih darah pada setiap bulan. Apabila anda kehilangan darah yang berlebihan akan menyebabkan anda kekurangan zat besi yang diperlukan oleh badan untuk menghasilkan hemoglobin iaitu molekul yang membantu sel-sel darah merah mengangkut oksigen ke seluruh anggota badan anda. Tanpa zat besi yang cukup, jumlah sel darah merah anda akan jatuh dan ini akan membawa kepada anemia.

Tanda-tanda anemia termasuk sesak nafas yang luar biasa, kulit menjadi pucat dan keletihan. Jika anda mempunyai aliran haid banyak dan lebih panjang dari kitaran sebelumnya, berjumpalah dengan doktor dengan segera.

Beberapa masalah lain yang menyebabkan aliran haid anda banyak termasuklah;

  • Fibroid
  • Polip Endometrial (ketumbuhan kecil pada lapisan rahim)
  • Gugur atau Kandungan luar rahim
  • Penggunaan ubat-ubatan (termasuk pencair darah atau steroid)
  • Penyakit yang menghalang pembekuan darah, seperti penyakit Von Willebrand
  • Kanser Uterus

Anda boleh mengagak berapa banyak haid anda dengan memerhatikan berapa banyak tuala wanita yang anda telah gunakan. Sekiranya tuala wanita anda penuh dibasahi dengan darah dan anda perlu menukarnya setiap satu jam atau keluar darah dalam bentuk ketulan yang besar dan berterusan, pendarahan haid anda sememangnya luar biasa. Anda perlu berjumpa doktor anda dengan segera.

Pendarahan Faraj di tengah bulan

Pendarahan yang berlaku di tengah bulan memang sesuatu yang anda tidak boleh mengambil ringan walaupun ia sedikit. Ia mungkin berpunca daripada masalah pangkal rahim atau vagina seperti jangkitan kuman dan yang lebih seriusnya jika ia penyakit kanser. Jadi berjumpa doktor pakar anda dengan segera untuk pemeriksaan faraj.

Haid berserta senggugut yang keterlaluan

Sakit semasa haid sebenarnya sangat kerap terjadi. Ia selalunya ringan dan akan berkurangan selepas sehari dua. Tetapi bagi sesetengah wanita, sakitnya terlalu perit sehingga sukar untuk bangun dari katil. Sengugut yang keterlaluan kerap disertai oleh gejala-gejala lain termasuk cirit-birit, loya, muntah, sakit kepala atau ketidakselesaan pada bahagian tulang belakang.

Senggugut selalunya berlaku akibat kekejangan pada otot rahim tetapi ia  boleh juga disebabkan oleh keadaan seperti endometriosis dan fibroid. Pemeriksaan pelvis melalui kaedah ujian ultrasound atau laparoskopi mungkin akan disarankan oleh doktor anda bagi memastikan ia bukan penyakit serius yang boleh mengganggu sistem peranakan anda.

Pengambilan ubat penahan sakit seperti Nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) seperti Ponstan bukan sahaja boleh membantu melegakan kesakitan, malahan boleh menghalang pembentukan prostaglandin iaitu satu hormon badan yang merangsang kekejangan rahim semasa tempoh haid. Bagi sengugut disebabkan oleh Fibroid atau endometriosis rawatan pembedahan mungkin akan disarankan.

Bila anda perlu jumpa Doktor

Sekiranya haid anda menjadi tidak normal atau ia menyebabkan anda berasa tidak selesa setiap bulan atau membuatkan anda gagal untuk melakukan aktiviti harian, jangan berlengah untuk berjumpa dengan doktor. Ini adalah salah satu cara tindak balas badan anda untuk cuba memaklumkan bahawa ada sesuatu yang tidak normal pada anda seperti contoh berikut:

  • Haid anda tiba-tiba tidak teratur,
  • Kitaran haid menjadi lebih pendek iaitu kurang daripada 21 hari,
  • Kitaran haid menjadi panjang iaitu lebih daripada 35 hari,
  • Anda berdarah lebih daripada 10 hari berturut-turut,
  • Haid anda berhenti lebih daripada 12 bulan tetapi kini berdarah kembali (untuk mereka yang menopos),
  • Tuala wanita anda perlu ditukar setiap 1 jam atau anda perlu memakai diaper,
  • Terdapat darah beku besar keluar,
  • Haid anda mengalir dan membasahi kain dan kerusi anda (flooding),
  • Terdapat pendarahan di tengah bulan,
  • Terdapat pendarahan semasa atau selepas hubungan seks, dan
  • Sengugut keterlaluan sehingga anda perlu berbaring dikatil,
You are here: Utama Artikel Kehamilan Merancang Untuk Hamil Apabila Haid Anda Bermasalah